PERMASALAHAN: PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA
PERMASALAHAN: PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA
Apakah permasalahan dalam pemerolehan bahasa kedua?
Hi semua, sihat? Bagi celoteh blog saya kali ini, saya ingin membincangkan mengenai permasalahan yang sering dilalui dalam pemerolehan bahasa kedua. Bahasa Kedua ialah bahasa yang dipelajari oleh seseorang individu dalam proses perkembangan bahasanya(Khazriyati Salehuddin, 2018). Bahasa kedua diperoleh mengikut penggunaannya dalam persekitaran seseorang penutur. Bahasa kedua juga berbeza mengikut setiap individu. Negara Malaysia sangat popular dengan pelbagai bahasa kedua kerana kewujudan masyarakat yang majmuk. Pemerolehan bahasa kedua tidaklah begitu mudah apabila persekitarannya dan realiti yang tidak kondusif. Antara permasalahan dalam pemerolehan bahasa kedua ialah:
Gangguan di antara bahasa pertama dan bahasa kedua
Hal ini terjadi apabila pelajar sedang memeroleh bahasa pertama dan bahasa kedua secara serentak. Hukum tatabahasa dan kosa kata dari bahasa pertamanya akan mengganggu proses pemerolehan bahasa kedua. Isu ini boleh dikaitkan dengan fenomena ‘Code-Mixing’. Fenomena ini juga dikatakan gabungan dua bahasa yang berbeza kerana bahasa-bahasa tersebut digunakan secara serentak (Hall & Nilep, 2015). Fenomena ini berlaku kerana penggabungan hukum-hukum tatabahasa dari dua bahasa yang berbeza. Ini menjadi satu gangguan kepada pelajar bahasa kedua kerana mereka tidak dapat menggunakan bahasa tersebut secara menyeluruh. Proses ini akan mengganggu pertuturan mereka yang baku.
Kaedah pengajaran
Proses pembelajaran bahasa pertama dan bahasa kedua adalah amat berbeza. Hal ini kerana di dalam otak manusia sudah mempunyai bahasa pertama yang telah dipelajari secara tidak formal. Bahasa kedua biasanya diperoleh secara formal melalui pendidikan. Kaedah pengajarannya perlu sesuai dengan tahap pemikiran dan gaya pembelajaran pelajar. Kaedah pengajaran yang efektif boleh membantu penguasaan bahasa kedua yang baik dari aspek tatabahasa. Contoh kaedah pengajaran bahasa kedua ialah kaedah tradisional, kaedah terus dan lain-lain. Guru juga harus mengenali kemampuan pelajar dalam memperoleh bahasa baharu seperti keupayaan pengekodan fonetik, kepekaan tatabahasa, keupayaan penghafalan dan keupayaan pembelajaran induktif (Noor Aina Dani, 2017). Kemampuan di atas boleh membantu guru mengatur satu pengajaran yang berkesan bagi pemerolehan bahasa kedua.
Masalah Fonologi
Fonologi merujuk kepada aspek sebutan dan intonasi dalam pertuturan seseorang. Masalah fonologi boleh mempengaruhi pemerolehan bahasa kedua dan juga pertama kerana kemahiran bertutur merupakan aspek pertama yang perlu dikuasai oleh seseorang penutur dalam menguasai sesuatu bahasa. Permasalahan dalam pertuturan boleh menyebabkan penutur tidak dapat menguasai aspek lain seperti tatabahasa dan semantik. Contoh masalah fonologi ialah afasia. Afasia boleh berlaku pada dewasa dan kanak-kanak disebabkan oleh strok atau kecederaan pada bahagian otak. Ini akan menyebabkan seseorang manusia itu tidak dapat bertutur dengan jelas, mengalami kesukaran memahami komunikasi orang lain dan kesukaran bagi membaca dan menulis. Individu dengan afasia lebih sukar untuk menghasilkan kata kerja berbanding kata nama (Shahidi A.H & Mohd Azmarul A Aziz, 2017). Masalah fonologi sebegini pada awal perkembangan seseorang manusia boleh menyebabkan manusia tersebut tidak boleh memperoleh bahasa kedua atau bahasa pertama dengan sepenuhnya. Selain afasia, ada juga masalah fonologi seperti pelat dan gagap yang boleh mengganggu proses pemerolehan bahasa.
RUJUKAN:
Hall, K., & Nilep, C. (2015). Code-switching, identity, and globalization. In Tannen D., Hamilton, H. E. & Schiffrin, D (Eds.),
Handbook of discourse analysis (pp. 597-619). John Wiley & Sons, Inc.
Khazriyati Salehuddin. (2018). Psikolinguistik: Penerokaan minda berlandaskan bahasa. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Noor Aina Dani. (2017). Asas psikolinguistik. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahidi A.H., & Mohd Azmarul A Aziz. (2017). Kemahiran berkomunikasi dalam kalangan penutur dewasa Melayu dengan afasia. Jurnal Melayu, (Isu Khas), 318–333. http://ejournal.ukm.my/jmelayu/issue/view/1060
Ya, saya juga bersetuju dengan hantaran ini. Seperti yang kita tahu, kajian mengenai pemerolehan bahasa kedua adalah penting untuk memahami bagaimana individu belajar dan menguasai bahasa lain selain daripada bahasa ibunda mereka. Gangguan di antara bahasa pertama dan bahasa kedua sering kali mengakibatkan fenomena 'Code-Mixing', yang menunjukkan pengaruh tatabahasa dan kosa kata bahasa pertama terhadap bahasa kedua. Kaedah pengajaran yang sesuai dan efektif dapat membantu mengatasi masalah ini dengan memberi tumpuan kepada keupayaan pelajar.
ReplyDeleteCatatan ini sangat informatif, membincangkan pelbagai permasalahan yang dihadapi dalam pemerolehan bahasa kedua. Anda telah menjelaskan isu-isu seperti gangguan antara bahasa pertama dan kedua, kaedah pengajaran, serta masalah fonologi dengan jelas dan terperinci. Penggunaan sumber rujukan yang relevan juga menambah kredibiliti catatan ini. Bagus...
ReplyDeleteTahniah Logen atas penulisan yang jelas dan informatif mengenai permasalahan dalam pemerolehan bahasa kedua. Anda telah memberi gambaran yang menyeluruh mengenai gangguan antara bahasa pertama dan kedua, kaedah pengajaran yang efektif, serta masalah fonologi yang boleh mempengaruhi pembelajaran bahasa. Pendekatan ini memberi pemahaman yang baik tentang cabaran yang dihadapi dalam mempelajari bahasa kedua, terutama dalam konteks masyarakat yang majmuk seperti di Malaysia. Teruskan usaha untuk membantu pemahaman dan penyelesaian bagi isu-isu ini dalam pendidikan.
ReplyDeleteTahniah atas penulisan yang mendalam dan informatif ini! Anda telah berjaya mengupas permasalahan yang sering dihadapi dalam pemerolehan bahasa kedua dengan jelas dan terperinci. Pengaitan antara gangguan antara bahasa pertama dan bahasa kedua, kaedah pengajaran yang berkesan, dan masalah fonologi memberi pemahaman yang mendalam kepada pembaca. Artikel ini memberi kesedaran akan pentingnya strategi yang sesuai dalam mengajar dan mempelajari bahasa kedua di tengah-tengah masyarakat yang pelbagai bahasa seperti Malaysia. Teruskan usaha dalam memberi ilmu yang bermanfaat!
ReplyDelete